Latar Belakang Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM)
1. PENGENALAN
PERSIDAM merupakan satu pertubuhan yang diwujudkan dalam usaha mengembangkan ilmu Allah SWT yang telah diwariskan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW Ilmu itu seterusnya diwarisi dan dikembangkan oleh para sahabat r.a. Mereka telah bertebaran di seluruh pelusuk dunia agar rahmat Allah subhanahu wata'ala yang paling agung ini dapat dinikmati oleh semua umat manusia seperti mana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ
Yang bermaksud: “Tidaklah kami mengutuskan mu wahai Muhammad s.a.w melainkan agar menjadi rahmat (dengan agama Islam yang kamu sampaikan) kepada semua umat manusia.” [Al-Anbia`:107]
Usaha ini kemudian diteruskan oleh para ulama yang telah berkorban jiwa dan raga tanpa mengira penat dan lelah, siang dan malam agar ilmu dapat di sebarkan ke setiap generasi hinggalah tibanya hari pembalasan. Maka disebabkan niat mereka yang ikhlas hanya kerana Allah SWT, ilmu Islam ini masih lagi berkembang hingga ke hari ini.
Jesteru itu, PERSIDAM merupakan satu usaha bagi menyambung kesinambungan segala usaha dan titik peluh pengorbanan ulama-ulama Islam dengan mendidik anak bangsa memahami Islam dengan lebih mendalam.
Didaftarkan di peringkat awal dengan nama Jamiyyah Darul al-Muttaqin tetapi ditukar kepada Pertubuhan Sinar Damsyik Malaysia atas sebab-sebab teknikal. Nama Damsyik diambil kerana ianya salah satu pusat ilmu Islam yang ulung sebagaimana bandar Kaherah, Andalus dan lain-lain lagi. Pemilihan ini juga bersempena dengan tempat pengajian beberapa ahli yang berusaha dalam pendaftaran Pertubuhan ini.
Pengajian kitab-kitab turas muktabar tidak mendapat tempat dalam arus pendidikan perdana. Oleh itu, untuk membuat usahasama atau menjadi cawangan kepada mana-mana institusi yang tersedia ada adalah amat sukar. Oleh itu, alternatif dalam menyediakan wadah bagi mengembangkan ilmu ini kepada masyarakat ialah dengan mewujudkan satu Pertubuhan bagi membolehkan aktiviti berjalan dengan lebih teratur.
2. KELULUSAN PENDAFTARAN DAN PENGECUALIAN CUKAI
Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Sinar Damsyik, Malaysia. (Association Of The Light Of Damascus Malaysia) (P.E.R.S.I.D.A.M). Ianya telah berjaya didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 7 Mac 2005. Nombor pendaftaran Pertubuhan ialah 0357-05-07. PERSIDAM juga telah mendapat kelulusan pelepasan cukai kepada penderma di bawah Seksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967 yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2006 dengan nombor rujukan: LHDN. 01/35/42/51/179-6.5877.
Headlines:


